Hari ini :
You are not log in? >> Please Login

Pemuda PAS dan Umno serang menyerang di Manek Urai

KOTA BHARU, Jun 17 — Pemuda Umno dan Pemuda PAS Kelantan saling salah menyalahkan antara satu sama lain berhubung dengan penggunaan jentera kerajaan dan bangunan awam untuk kempen mereka di Manek Urai.

Pemuda Umno menyalah PAS kerana menggunakan mimbar masjid untuk berkempen manakala Pemuda PAS pula menyalah Umno kerana menggunakan seluruh jentera kerajaan untuk kempen mereka.

Ketua Pemuda Umno, Anuar Safian mengecam Mentri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membolehkan penggunaan mimbar Jumaat untuk menyampaikan mesej politik.

Anuar mendakwa tindakan itu menunjukkan PAS terlalu bimbang kerusi DUN Manek Urai akan menjadi milik Barisan Nasional (BN) sehingga sanggup menggunakan masjid sebagai pentas kempennya menjelang PRK tersebut.

“Saya melihat PAS agak keterlaluan dalam hal ini,” katanya ketika menghubungi The Malaysian Insider sambil menyifatkan PAS masih menggunakan kaedah lama bagi memancing undi rakyat.

Ketua Pemuda PAS, Abdul Latiff Abdul Rahman pula menyelar Umno kerana mengarahkan penggunaan jentera kerajaan Persekutuan untuk berkempen di situ.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terbaru yang diterima, beberapa kementerian mengarahkan semua agensi dan jabatan di bawah mereka di negeri ini supaya menggunakan segala kemudahan yang ada untuk tujuan berkenaan.

“Agensi dan jabatan kerajaan di bawah beberapa kementerian negeri ini, diarahkan supaya mengguna segala kemudahan, peruntukan dan jentera kakitangan yang ada untuk melaksanakan projek dan menyalurkan bantuan segera sebagai kempen sempena PRK DUN Manek Urai,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai, tempat terletaknya DUN Manek Urai.

“Segala infrastruktur kerajaan adalah milik semua pihak. Tapi BN salah guna kemudahan itu semata-mata untuk kepentingan partinya. Inilah ketidakadilan BN yang amat ketara. PAS tidak dibenar walau sedikitpun ruang untuk tujuan ini. Contohnya media,” katanya.

Selain media, Umno didakwa menggerakkan polis, Kesedar, Kada, sekolah dan pelbagai jenis badan kerajaan lagi untuk membantu kempen mereka.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com

About this entry

  1. Semoga selamat semue..Yang hak tetap akan mendahului juge...itu pasti.

  2. Nampak adil tapi selalu kerajaan yg tak kena. Kenapa ???? Any hidden agenda ?????

Post a Comment

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008