Hari ini :
You are not log in? >> Please Login

Keadaan Agak Kelam Kabut Di Tengah Ramainya Polis




MANEK URAI, 14 Julai. Orang ramai dan para pengundi dalam pilihan raya kecil Manek Urai berasa kesal dengan keadaan kelam kabut yang berlaku di beberapa tempat pusat membuang undi di tengah-tengah ramainya polis yang bertugas.

Selain di Sungai Peria yang menyaksikan adegan provokasi dengan kata-mengata dan ejek mengejek di antara penyokong PAS dan Barisan Nasional, keadaan di pusat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Chuchoh Puteri turut menyaksikan suasana yang hampir sama.

Keadaan tercemar dengan insiden ejek-mengejek, bertikam lidah dan cabar-mencabar dari kedua-dua parti di kawasan tersebut.

Apa yang mendukacitakan ialah sejak jam lapan pagi sebahagian kawasan dalam jarak 50 meter menuju pintu masuk ke SK Chuchoh Puteri dari arah Sungai Sok telah dipenuhi oleh para penyokong kedua-dua parti. Kawasan 50meter tersebut adalah yang diumumkan sebagai kawasan larangan oleh SPR kerana tempat menurunkan pengundi.

Para penyokong parti turut membawa bendera atau lambang parti untuk merayu undi atau berkempen di kawasan larangan tersebut yang sekaligus bertentangan dengan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Pada jam 9.00 pagi apabila pihak polis meminta para penyokong beredar dari kawasan larangan tersebut, para penyokong tidak berganjak. Malahan, penyokong semakin bertambah dengan kehadiran penyokong dari luar.

“Keadaan seperti tidak terkawal. Saya fikir polis sepatutnya melarang para penyokong parti dari berkumpul dalam kawasan 50 meter. Sepatutnya sejak jam tujuh pagi lagi. Pada masa itu keadaan lebih terkawal”, kata seorang pengundi yang tidak mahu dikenali.


Selain suasana provokasi dan serang-menyerang lisan di antara penyokong, keadaan lalu lintas juga menjadi terhalang kerana penyokong sudah berada di atas jalan raya yang merencatkan perjalanan kenderaan yang membawa pengundi ke pusat tersebut.

Selain faktor di atas, jalan menuju ke pusat mengundi Chuchoh Puteri juga tidak mempunyai alternatif lain menjadikan lalu lintas sesak dengan pengundi dan orang ramai yang keluar masuk untuk urusan harian.

“Saya menaiki motorsikal untuk datang melawat pusat mengundi ini kerana kereta bersesak dan bergerak perlahan”, kata calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah ketika tiba di pusat mengundi tersebut.

Pada 30 Jun lalu pihak polis mengumumkan penglibatan seramai 3030 orang anggota polis untuk pilihan raya kecil Manek Urai. Seramai 70 orang polis trafik pula terlibat untuk mengawal lalu lintas. Jumlah ini dilihat berdaftar.

Selain anggota polis dari Kelantan, terdapat juga anggota polis yang didatangkan dari negeri lain seperti Wilayah Persekutuan dan Johor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika melawat Manek Urai pada minggu lalu berharap masyarakat tidak takut dengan kehadiran polis kerana polis hanya mahu melihat keadaan sekitar Manek Urai selamat tanpa sebarang kekecohan.
"Saya yakin, dengan adanya anggota yang ditempatkan di seluruh kawasan pilihan raya, mereka mampu menjaga dan menangani sebarang masalah yang berlaku dengan baik”, ujar beliau lagi.
Read On 0 comments

Keluhan seorang polis petugas PRK Manek Urai

Saya sudah di sini sejak 23hb lagi.Begitulah ia memulakan bicara.Sudah dua minggu beliau berpisah dari keluarganya yang berada di luar Manek Urai,di luar kelantan.Kalau dapat elaun boleh lah tahan sikit.Ujar beliau.Saya boleh melihat bagaimana ia cuba melegakan tekanan dari dalam nya.Saya terlebih dahulu keluar dari mesjid di depan SATEK di Cucoh Puteri B dan beliau berada di belakang.Saya dari petugas Mafrel meninjau persekitaran semasa kempen.Tak kan saya nak makan kat dalam kem sahaja,nak juga makan kat luar.Saya mula menunjukkan simpati kepada nya dan cuba melegakan dengan bertanya pada nya."Habis bagaimana dengan pakaian,adakah disediakan dobi?""Encik,dulu mereka janji ada dobilah..tapi sekarang terpaksa saya begini.."kedua-dua tangannya menunjukkan bagaimana gaya membilas kain.Entah lah nampak gaya 16hb baru balik.
Mengikut beliau kos tender makan untuk seorang anggota polis ialah RM35 sehari.Saya pun congaklah.Kalau sehari RM35X 3000 orang X 21 hari....dah lebih 2 juta dah.Itu belum masuk kos khemah,bil elektrik dan macam-macam lagi.Kata nya memang terlebih manpower.Tak lama lagi nak sampai lagi beberapa ratus anggota.Kita ni di himpun satu tempat 100 orang,bau-bau tak usah cakap lah macam-macam bau,nasib baik ada air cond.Dulu dah kena kat Bukit Gantang.Terpaksa je lah.Mereka kata utamakan orang ada pengalaman."
Pihak polis telah mengadakan pusat operasi utama yang di namakan MATEK di Laloh dan dua cawangan di Manek Urai dan di Cucoh Puteri.Saya bertanya: tandas macamana?
tempat tu asalnya padang bola.",ada tandas mudah alih.Ada lah orang yang mengangkutnya....
Oleh kerana saya terpaksa ke tempat lain pula,saya pun minta diri.Dalam hati saya tercetus perasaan kasihan pada anggota polis ni.Ia setia menurut perintah.
Read On 0 comments

Pusat Operasi Mafrel


Mafrel sudah membuka pusat operasi dan aduannya sejak hari 7hb Julai selasa di Kg Sungai Perai.Ia terletak di tepi jalan utama Kuala Krai-Gua Musang.Setakat ini sudah ada aduan-aduan yang diterima antaranya:
a)Ada wakaf hentian orang ramai di gunakan sebagai pos satu parti bertanding di Kg Lela Jasa
b)Seorang jururawat diarah tukar tempat kerja dalam masa 24 jam akibat wujud bendera parti di depan rumahnya
c)Kegagalan mendapat permit-permit ceramah
d)Aduan kad-kad pengenalan dikutip oleh pekerja-pekerja parti
e)Staf-staf hospital kuala krai yang mengundi di Manek Urai dipaksa hadir taklimat oleh seorang menteri

Mafrel akan membuat laporan secara resmi apabila mendapat bukti-bukti kesahihan.
Talian hotline mafrel ialah:016-3108344 dan 019-9442268
Read On 0 comments

Laungan “Hancur, Hancur BN, Hancur, Hancur UMNO” Pada Hari Penamaan Calon

Beberapa orang petugas MAFREL dan orang ramai yang menonton perarakan calon pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Manek Urai pada 6 Julai 2008 yang lalu telah mendengar laungan “hancur, hancur BN, hancur, hancur UMNO” daripada para peserta perarakan parti PAS yang dilaungkan secara beramai-ramai dipimpin oleh seorang ketua.

Laungan oleh penyokong-penyoking PAS di hadapan penyokong-penyokong Barisan Nasional yang berada dalam jarak lebih 100 meter menimbulkan keadaan yang agak provokatif. Laungan tersebut kedengaran beberapa kali selepas jam 10.00 pagi semasa barisan penyokong parti PAS berdiri di luar pusat penamaan calon sambil menunggu proses penamaan calon selesai.

Kedua-dua pihak dipisahkan oleh dawai berduri dan para anggota polis yang berkawal ketat. Pihak-pihak lain yang mendengar laungan tersebut adalah para wartawan, anggota-anggota keselamatan dan pegawai dari agensi-agensi kerajaan yang berada di bangsal di mana borang penamaan calon ditampal untuk bantahan.

Walau bagaimanapun. keadaan keseluruhan adalah terkawal dan perarakan mengiringi calon berjalan lancar. Selain laungan tersebut para penyokong PAS juga membaca selawat dan berzikir sementara penyokong Barisan Nasional mendendangkan lagu dikir barat selain berselawat kepada Rasulullah.

Laungan “hancur, hancur BN, hancur, hancur UMNO” oleh penyokong PAS boleh membawa provokasi kepada parti lawan kerana ia boleh membawa berbagai maksud. Laungan tersebut boleh bermaksud menghancurkan ideologi atau fahaman UMNO, menghancurkan organisasi atau menghancur ahlinya. Yang mana satu?

MAFREL yang mendokong prinsip kebebasan dan keadilan dalam pilihan raya menyeru semua pihak supaya mengelakkan daripada menggunakan perkataan dalam ceramah atau pada poster yang boleh mengapi-apikan emosi sehingga mencetuskan keadaan yang tidak diingini di Manek Urai
Read On 0 comments

beberapa Foto sepanjang penamaan calon


Read On 0 comments

MAFREL dakwa kesan unsur rasuah di Manek Urai

Badan pemantau pilihanraya, MAFREL, khuatir dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh individu, jabatan, agensi kerajaan dan pelbagai pihak yang terlibat dalam kempen pilihanraya kecil DUN Manek Urai yang bermula semalam.

Sehubungan itu, MAFREL menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya "lebih menonjol dan menzahirkan kewujudannya di pilihanraya kecil tersebut".

Ketua Misi MAFREL bagi pilihanraya kecil Manek Urai, Dr Abdul Halim Yusof berkata, pihaknya sudah mengesan wujudnya unsur-unsur rasuah.

Oleh itu, katanya Mafrel berharap SPRM dapat bertindak lebih proakif dan mengambil langkah pencegahan.

"MAFREL mencadangkan SPRM mengambil tiga langkah segera dalam konteks pencegahan rasuah dalam pilihanraya kecil Manik Urai:

  • Mewujudkan pusat-pusat aduan yang beroperasi 24 jam yang khidmatnya merangkumi seluruh kawasan Manek Urai
  • Melancarkan talian hoteline, servis pesanan segera (SMS) dan emel untuk memudahkan orang ramai menyampaikan menyampaikan aduan secara cepat, mudah dan berkesan
  • Meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bahaya rasuah dalam pilihanraya dengan cara: -Mencetak poster, banner dan risalah untuk diedar di seluruh kawasan Manek Urai. -Menggunakan media massa secara meluas seperti radio, telivisyen dan akhbar.

"MAFREL yakin rakyat menaruh harapan penuh kepada SPRM supaya berani dan bertindak dengan lebih tegas bagi menguatkuasakan undang-undang mengikut bidang kuasa yang telah diberikan kepada SPRM.

"MAFREL sebagai badan bebas dan komited dengan agenda pembersihan rasuah dalam pilihanraya, bersedia untuk bekerjasama dan membantu SPRM secara bersungguh-sungguh dalam menangani gejala rasuah," tambahnya.

Sumber: Malaysiakini
Read On 0 comments

MAFREL Kelantan Mengadakan Pertemuan dengan SPRM Kelantan

MAFREL Kelantan telah membuat kunjungan hormat ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan di Wisma Persekutuan, Kota Bharu pada 2 Julai 2009 lalu untuk menemui pengarahnya iaitu Encik Mohd Jaafar bin Hj Hussen.

Timbalan Pengerusi MAFREL negeri Wan Abdul Halim Wan Ismail membuat kunjungan hormat tersebut bersama tiga orang lagi exco MAFREL Kelantan iaitu Mohamad Saidy Ismail, Nazri Deraman dan Nurul Anani Mt Nawi.

Selain mendengar tentang peranan SPRM dalam konteks pilihan raya kecil Manek Urai, pertemuan tersebut memberi peluang kedua-dua pihak berkongsi idea dan maklumat tentang pencegahan rasuah. Tuan pengarah SPRM negeri juga disertai oleh dua orang pegawai SPRM yang dalam pertemuan tersebut.

Menurut Pengarah SPRM negeri Kelantan, SPRM turut mengadakan operasi berterusan sempena pilihan raya ini. Namun SPRM mengharapkan orang ramai dapat memberi maklumat yang lebih tepat dan lengkap jika ada sesiapa yang mengetahui mengenai amalan rasuah atau apa-apa yang disyaki mengenainya.

MAFREL mencadangkan SPRM dapat menimbangkan strategi yang lebih proaktif dan menampakkan kehadirannya dalam konteks pilihan raya kecil sebagai langkah pencegahan terhadah rasuah.

MAFREL juga mencadangkan usaha pendidikan yang lebih ketara dan menyeluruh terhadap gejala rasuah di kalangan pengamal politik supaya dapat ditanam kesedaran akan bahaya rasuah kepada masyarakat dan negara tatkala kepemimpinan politik sendiri mengakui rasuah dalam politik semakin serius.
Read On 0 comments

MAFREL GESA SPRM LEBIH MENONJOL DI MANEK URAI

MAFREL MENGGESA SPRM LEBIH MENONJOL DALAM PRK MANEK URAI

MAFREL sebagai badan yang prihatin dengan proses pilihan raya yang adil dan bebas menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya lebih menonjol dan menzahirkan kewujudan mereka di pilihan raya kecil (PRK) Manek Urai N41.

Ini memandangkan kempen pilihan raya sudah bermula dan MAFREL sangat khuatir dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh individu, jabatan dan agensi kerajaan dari berbagai pihak yang terlibat.

MAFREL sudah mengesan wujudnya unsur-unsur rasuah dan berharap SPRM dapat bertindak lebih proaktif dan preventif.

MAFREL mencadangkan SPRM mengambil tiga langkah segera berikut dalam konteks pencegahan rasuah dalam pilihan raya kecil Manik Urai:

1. Mewujudkan pusat-pusat aduan yang beroperasi 24 jam yang khidmatnya merangkumi seluruh kawasan Manek Urai.

2. Melancarkan talian hotline, servis pesanan segera (sms) dan e-mail untuk memudahkan orang ramai menyampaikan menyampaikan maklumat dan aduan secara cepat, mudah dan berkesan.

3. Meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bahaya rasuah dalam pilihan raya dengan cara:

i. Mencetak poster, banner dan risalah untuk diedar di seluruh kawasan Manek Urai.
ii. Menggunakan media massa secara meluas seperti radio, telivisyen dan akhbar.

MAFREL yakin rakyat menaruh harapan penuh kepada SPRM supaya berani dan bertindak dengan lebih tegas bagi menguatkuasakan undang-undang mengikut bidang kuasa yang telah diberikan kepada SPRM.

MAFREL sebagai badan bebas dan komited dengan agenda pembersihan rasuah dalam pilihan raya bersedia untuk bekerjasama dan membantu SPRM secara bersungguh-sungguh dalam menangani gejala rasuah.


DR ABDUL HALIM YUSOF
Ketua Misi MAFREL
Pilihan Raya Kecil N41 Manek Urai
Read On 0 comments
 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008