Hari ini :
You are not log in? >> Please Login

Keadaan Agak Kelam Kabut Di Tengah Ramainya Polis




MANEK URAI, 14 Julai. Orang ramai dan para pengundi dalam pilihan raya kecil Manek Urai berasa kesal dengan keadaan kelam kabut yang berlaku di beberapa tempat pusat membuang undi di tengah-tengah ramainya polis yang bertugas.

Selain di Sungai Peria yang menyaksikan adegan provokasi dengan kata-mengata dan ejek mengejek di antara penyokong PAS dan Barisan Nasional, keadaan di pusat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Chuchoh Puteri turut menyaksikan suasana yang hampir sama.

Keadaan tercemar dengan insiden ejek-mengejek, bertikam lidah dan cabar-mencabar dari kedua-dua parti di kawasan tersebut.

Apa yang mendukacitakan ialah sejak jam lapan pagi sebahagian kawasan dalam jarak 50 meter menuju pintu masuk ke SK Chuchoh Puteri dari arah Sungai Sok telah dipenuhi oleh para penyokong kedua-dua parti. Kawasan 50meter tersebut adalah yang diumumkan sebagai kawasan larangan oleh SPR kerana tempat menurunkan pengundi.

Para penyokong parti turut membawa bendera atau lambang parti untuk merayu undi atau berkempen di kawasan larangan tersebut yang sekaligus bertentangan dengan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Pada jam 9.00 pagi apabila pihak polis meminta para penyokong beredar dari kawasan larangan tersebut, para penyokong tidak berganjak. Malahan, penyokong semakin bertambah dengan kehadiran penyokong dari luar.

“Keadaan seperti tidak terkawal. Saya fikir polis sepatutnya melarang para penyokong parti dari berkumpul dalam kawasan 50 meter. Sepatutnya sejak jam tujuh pagi lagi. Pada masa itu keadaan lebih terkawal”, kata seorang pengundi yang tidak mahu dikenali.


Selain suasana provokasi dan serang-menyerang lisan di antara penyokong, keadaan lalu lintas juga menjadi terhalang kerana penyokong sudah berada di atas jalan raya yang merencatkan perjalanan kenderaan yang membawa pengundi ke pusat tersebut.

Selain faktor di atas, jalan menuju ke pusat mengundi Chuchoh Puteri juga tidak mempunyai alternatif lain menjadikan lalu lintas sesak dengan pengundi dan orang ramai yang keluar masuk untuk urusan harian.

“Saya menaiki motorsikal untuk datang melawat pusat mengundi ini kerana kereta bersesak dan bergerak perlahan”, kata calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah ketika tiba di pusat mengundi tersebut.

Pada 30 Jun lalu pihak polis mengumumkan penglibatan seramai 3030 orang anggota polis untuk pilihan raya kecil Manek Urai. Seramai 70 orang polis trafik pula terlibat untuk mengawal lalu lintas. Jumlah ini dilihat berdaftar.

Selain anggota polis dari Kelantan, terdapat juga anggota polis yang didatangkan dari negeri lain seperti Wilayah Persekutuan dan Johor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika melawat Manek Urai pada minggu lalu berharap masyarakat tidak takut dengan kehadiran polis kerana polis hanya mahu melihat keadaan sekitar Manek Urai selamat tanpa sebarang kekecohan.
"Saya yakin, dengan adanya anggota yang ditempatkan di seluruh kawasan pilihan raya, mereka mampu menjaga dan menangani sebarang masalah yang berlaku dengan baik”, ujar beliau lagi.

About this entry

Post a Comment

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008